Apa itu mimpi basah?
Apabila budak lelaki mula mencapai kematangan seksual, mereka mula mendapat mimpi basah. Mimpi basah sebenarnya mimpi yang terdapat tindak balas ejakulasi apabila cecair jernih berjeli air mani terpancut daripada penis. Ia biasanya berlaku semasa tidur. Dan biasanya mereka juga tidak tahu yang ia telah berlaku, sehinggalah mereka terjaga dari tidur. Mendapat mimpi basah merupakan satu tanda yang budak lelaki itu makin dekat melangkah ke alam dewasa secara fizikal.

Ejakulasi
Semasa ejakulasi, saraf menghantar signal kepada testis untuk mula membebaskan sperma di luar badan. Semasa tahap awal ejakulasi, sperma bercampur dengan cecair daripada kelenjar prostat dan seminal vesikel. Struktur ini biasanya dijumpai hanya pada lelaki. Kelenjar prostat yang berbentuk buah berangan ini terletak berdekatan pundi kencing. Seminal vesikel pula merupakan tiub senget yang terletak di belakang pundi kencing. Cecair daripada kelenjar prostat dan seminal vesikel memberikan perlindungan dan zat terhadap sperma sebaik sahaja ia dipancutkan keluar. Cecair ini juga mengandungi protein istimewa dan vitamin untuk menyediakan sperma terhadap dunia luar yang akan dijumpainya sebaik sahaja ia dibebaskan ke dalam vagina.
Ereksi
Ia terjadi apabila penis menjadi keras dan tegang. Apabila seorang lelaki menjadi ghairah, otak menghantar signal ke saraf-saraf dalam tubuhnya dan menyebabkan berlakunya ereksi. Aliran darah semakin meningkat di penis dan ia menyebabkan otot-otot penis mengembang membuatkan penis semakin besar dan panjang. Ereksi tidak hanya berlaku apabila seorang lelaki itu ghairah. Pundi kencing yang penuh dan emosi yang memuncak juga boleh menyebabkan ereksi.
Semen
Semen ataupun air mani merupakan cecair putih yang keluar daripada penis semasa pancutan. Ia mengandungi sperma dan cecair yang keluar dari kelenjar prostat dan vesikal semen. Apabila seorang budak lelaki mula mengeluarkan air mani semasa baligh, semen mereka tidak semestinya mengandungi sperma lagi. Sekiranya ada, bilangan sperma mungkin terlalu sedikit dan mungkin juga belum cukup sihat. Semen juga mungkin kelihatan seperti jeli dan lutsinar atau jernih. Selepas dua tahun dari pancutan pertama, semen mungkin mengandungi lebih banyak sperma yang sihat untuk membuatkan seorang wanita itu hamil.
Sperma
Gadis muda membebaskan ovum dalam tubuh mereka sementara budak lelaki pula menghasilkan sperma. Sementara wanita hanya mengeluarkan satu ovum pada satu masa, lelaki muda membebaskan berjuta-juta sperma setiap kali mereka mengeluarkan air mani! Tapi hanya satu sperma sahaja yang akan berjaya bergabung dengan ovum. Anda perlukan peralatan seperti mikroskop untuk melihat sperma. Ini kerana ia tersangatlah halus dan kelihatan seperti berudu dengan kepala bulat dan ekornya. Ekornya bergerak pantas dari kiri ke kanan membuatkan ia kelihatan seperti berudu yang sedang berenang-renang.
Sumber asal Kotex Malaysia